Sunday, July 31, 2011

MESJID MENJADI TUMPUAN PADA BULAN RAMADHAN



Pada setiap tahun pada bulan Ramadhan ramai masyarakat Islam lelaki dan wanita, dewasa dan kanak-kanak yang datang untuk mengerjakan solat terawikh di mesjid-mesjid.
Mesjid menjadi amat meriah dengan kehadiran umat Islam yang memenuhi ruang dan dipenuhi suara pasar (bising) kanak-kanak dan kaum ibu. Si pemuda dan pemudi juga hadir, siap dengan kelengkapan assesori masing-masing.

Ada yang datang semenjak sebelum berbuka kerana juada berbuka di mesjid selalunya meriah. Ramai YB dan orang-orang kaya yang bersedekah dengan menghantar juadah ke mesjid untuk santapan jemaah berbuka.

Kalau ditempat saya biasanya seorang dapat nasi, mee/sup, bubur, kuih, air panas dan air ais. Wow!!! Mewahlah makanan....

Ada satu cerita saya nak kongsikan pada korang semua. Tahun lalu ada seorang makcik yang pengsan kerana terkezut...... seorang budak melempar mercun betul-betul tempat makcik tu sujud.... Pastikan anda, anak anda, anak buah anda atau rakan anda tidak membakar mercun di dalam perkarangan mesjid.

ISLAM MENJANA PERPADUAN UMMAH MELALUI MESJID
Masjid Menjana Perpaduan Ummah[1]

Oleh
Dr. Hassan Ahmad
Jabatan Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang


Asal-usul Masjid

Ibn Khaldun dalam Bab 4 al-Muqaddimah menyebut :[2]

"Sedarilah bahawa Allah swt telah menentukan beberapa tempat di bumi ini sebagai tempat beribadah. Mereka yang beribadah di dalamnya menerima banyak balasan dan ganjaran. Allah telah memberitahukan kita mengenai keadaan itu melalui para rasul dan Nabinya, sebagai tanda kasih dan sayang terhadap hamba-hambanya, dan bertujuan untuk memudahkan jalan menuju kebahagiaan.

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Hadith Sahihain, tempat-tempat mulia di permukaan bumi adalah di tiga buah masjid yakni, Makkah, Madinah, dan Baitul Muqaddis. Al-Baitul Haram yang terdapat di Makkah merupakan bait(بيت) Ibrahim asws. Allah memerintahkan Ibrahim untuk membinanya, serta mengajak manusia melaksanakan perintah Allah. Ismail tinggal di sana bersama Hajar dan suku Jurhum, hingga mereka berdua dipanggil pulang oleh Allah, serta dimakamkan disekitar sana.

Baitul Muqaddis dibina oleh Daud dan Sulaiman asws, berhijrah sewaktu Allah memerintahkan baginda berhijrah dan menegakan syiar Islam di sana. Baginda membina sebuah masjid yang suci di Madinah, dan tempat bersemadinya baginda di tanah yang suci mulia itu.

Ketiga-tiga masjid itu merupakan tempat yang dapat mententeramkan perasaan umat Islam, segala yang terdetik di hati mereka dan tempat suci agama. Terdapat banyak tradisi yang meyebutkan kecemerlangannya serta ganjaran yang berlipat ganda yang dijanjikan kepada orang yang tinggal di sekitarnya dan yang bersembahyang di dalamnya”.

Bangunan tempat ibadah pertama yang dibina oleh mausia ialah bayt (بيت) yang dibina oleh Adam asws di hadapan al-Bayt al-Ma'mur tetapi telah diruntuhkan oleh taufan (khabar dhaif) namun riwayat pembinaan bayt diperkukuh dengan firman Allah:

127. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;[3]

Falsafah Masjid

Masjid مسجد dari segi bahasa ialah tempat sujud (umum) atau tempat mengerjakan ibadah khususnya sembahyang, manakala Jami’ جامع pula adalah nama lain bagi masjid yang biasanya dimaksudkan bagi tempat ibadah yang lebih besar serta mempunyai beberapa kemudahan lain.

Walaupun masjid pada asasnya adalah tempat manusia (hamba) melakukan ibadah kepada Allah (Pencipta) namun maksudnya adalah cukup komprehensif mencakupi pelbagai fungsi dan peranan. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah tamadun Islam di mana masjid bukan hanya tempat manusia sujud kepada Allah tetapi menjalankan bermacam-macam aktiviti sosial, politik, ekonomi, budaya, intelektual dan sebagainya.
Masjid-masjid utama di Damsyik, Fez, Baghdad, Kaherah pada zaman keagungan Islam terletak di tengah-tengah pusat ekonomi dan politik negara. Ia menjadi titik pertengahan yang merupakan nadi kota bagi segala bentuk aspek kehidupan manusia. Lebih dari itu, biasanya ia adalah titik permulaan bagi sesuatu kawasan penempatan dan perbandaran. Bermula dari kewujudan masjid, orang Islam mula membina kemudahan masyarakat setempat seperti kedai-kedai bagi keperluan asas, tempat mandi (hammam), pasar, qasbah, penempatan musafir dan sebagainya.

Persepsi tentang peranan yang pernah dimainkan oleh masjid ini penting diberi perhatian agar umat Islam tidak melihat masjid sebagai tempat manusia berkunjung untuk melakukan sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat dan sekali sekala berbuka puasa. Persepsi sempit akan menghadkan fungsi masjid seterusnya memalapkan kegemilangan masjid. Masjid perlu dilihat sebagai institusi penting negara dan bukannya sebagai bangunan material dan monumen yang hanya mempunyai fungsi fizikal yang terhad.

Apabila masjid diberi peranan besar dalam kehidupan ummah, baharulah ia boleh dilihat sebagai tempat yang mempunyai pengaruh dalam kehidupan manusia. Selagi peranan positifnya terhad atau dihadkan, ummah akan kehilangan salah satu institusi penting dalam pembangunan umat Islam. Kebebasan masjid dalam memainkan peranan mengikut acuan dan falsafahnya akan menokok nilai tambah yang tidak ternilai dalam penjanaan ummah Islamiyyah pada masa sekarang dan masa depan.

Perpaduan Ummah dan Masjid?

Persoalan tentang perpaduan ummah Islamiyyah sudah termaklum di seluruh dunia Islam mahupun bukan Islam. Rata-rata orang Islam bersetuju tentang kelemahan umat Islam dalam perpaduan atau dengan kata lain mereka tidak bersatu dalam banyak keadaan. Dalam banyak senario politik terutama di Timur Tengah dan beberapa kawasan lain seperti di Lebanon, Iraq, Yaman, Mesir, Algeria, Palestin, Pakistan dan Iran dan sebagainya, perang saudara atau kekacauan dalaman sering berlaku dan ianya merupakan manifestasi kelemahan perpaduan muslimin atau dengan kata lain mereka sebenarnya berpecah-belah disebabkan oleh beberapa sebab atau isu-isu yang tertentu.

Di peringkat antarabangsa pula, negara Islam dilihat tidak mempunyai kesepakatan pendapat dalam kebanyakan isu politik, sosial dan ekonomi. Setakat hari ini Pertubuhan Negara Islam (OIC) sebagai contoh masih belum dapat menunjukkan kemampuannya dari segi pembangunan umat Islam di kalangan negara anggota.

Ianya telah menjadi antara tajuk penting dalam banyak persidangan kebangsaan dan antarabangsa bagi merungkai masalah perpaduan muslimin.

Adakah perpaduan ummah boleh dikaitkan dengan masjid? Jika ianya mempunyai kaitan, bolehkah ia memainkan peranannya dalam memperkukuh perpaduan ummah?. Dari pemerhatian umum, boleh dikatakan bahawa masjid memang mempunyai hubungan dengan perpaduan dan pembangunan ummah. Oleh itu, sewajarnyalah bagi umat Islam menggunakan institusi masjid sebagai titik pusat bagi menggerakkan aspirasi perpaduan yang dimaksudkan. Dengan berteraskan masjid sebagai tempat jemaah menyembah Allah, kesamaan aqidah dan semangat ikhwah akan dapat menyemarakkan perpaduan ummah.

Walaupun begitu, semangat dan emosi bagi memperkukuh perpaduan muslimin tidak akan dapat dicapai melainkan dengan pendekatan-pendekatan yang kreatif, efektif dan berwawasan. Masjid perlu memperluas peranannya supaya ianya terus relevan dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan milenium ini.

Perluasan Fungsi Masjid Abad 21

Bagi mengembalikan peranan sebenar masjid dalam membina kekuatan, perpaduan dan pembangunan Islam, beberapa langkah penting perlu diambil supaya masjid tidak tinggal sebagai tempat sembahyang semata-mata. Tidak dinafikan bahawa pada masa sekarang, sudah banyak usaha yang dijalankan oleh berbagai pihak tetapi pada masa yang sama pendekatan lain yang lebih professional dan menarik juga perlu dilaksanakan dari masa ke semasa. Mengambil kira pendekatan terbaik dari merata pelusuk dunia, para pentadbir masjid perlu sentiasa peka dengan kehendak semasa supaya program-program yang dijalankan di masjid akan memepati citarasa dan keperluan semua lapisan masyarakat setempat atau masyarakat umum.

Masjid bukan sahaja sebagai tempat yang memberi khidmat keagamaan secara khusus tetapi ia perlu dijadikan sebagai institusi pelbagai fungsi (multi functional) dan menjadikan ianya ejen pusat yang boleh membantu mewujudkan Komuniti Islam Gemilang (KIG). Pengurusan masjid perlu mempastikan empat peranan penting bagi semua aktiviti masjid:

a. Kegiatan Keagamaan
Sembahyang berjemaah, bacaan al-Quran dan aktiviti-aktiviti berkaitan hendaklah menjadi agenda penting aktiviti masjid. Kemudahan sokongan untuk keselesaan hendaklah diberi perhatian yang awla.

b. Pendidikan Agama
Dalam suasana dunia moden dan sekular, pendidikan keagamaan boleh dijadikan agenda penting penyebaran maklumat Islam di masjid-masjid. Kefahaman yang mantap, betul dan tepat adalah sangat penting bagi memandu seseorang muslim untuk menyesuaikan diri dalan kehidupan seharian. Pendidikan Islam akan menanamkan nilai dan budipekerti mulia yang boleh meyebabkan orang Islam dipandang mulia dan hebat. Program-program seperti kelas fardu ain dan kifayah, tahfiz Quran, Tafsir dan Hadith, Bahasa Arab, Tadika dan sekolah agama petang, kursus haji/umrah, ceramah dan forum dan lain-lain lagi.

c. Pembangunan Belia dan Keluarga
Keluarga adalah institusi terpenting dalam masyarakat. Ia adalah penyumbang terbesar bagi kekuatan, keharmonian dan keperihatinan masyarakat dan negara. Oleh kerana ia adalah aset penting untuk kecemerlangan generasi masa depan, merek perlu dibekalkan dengan perbagai petunjuk yang akan memandu mereka kepada masa depan yang lebih terjamin dan berkualiti. Diantara aktiviti yang boleh dijalankan bagi mencapai objektif diatas ialah:

I. Kursus pembangunan keluarga yang lebih sistematik dan berstruktur
II. Dialog tentang kesihatan, pembangunan kanak-kanak, khidmat kaunseling dan kursus motivasi
III. Penyediaan kaunselor terlatih bagi membantu keluarga bermasaalah
IV. Penubuhan kelab remaja di setiap masjid
V. Aktiviti sukan, lawatan dan khidmat masyarakat yang berterusan dengan kerjasama badan bukan kerajaan
VI. Membina budya belajar sepanjang hayat di kalangan ahli masyarakat

d. Perkhidmatan sebaran maklumat dan rujukan

Sebagai pusat komuniti Islam, masjid boleh berperanan sebagai pusat maklumat setempat yang mampu secara langsung menarik masyarakat untuk mendekatinya. Masjid boleh mempamer dan menyediakan maklumat penting tentang isu semasa yang ingin diketahui oleh masyarakat. Inisiatif seperti dibawah boleh diperkenalkan:

I. Pelantikan guru/ustaz yang berpengalaman dan memepunyai kelayakan akademik sebagai rujukan bagi membantu menyelesaikan masalah agama dan sebagainya
II. Mengadakan pameran dan aktiviti kemasyarakatan
III. Meletakkan maklumat berguna seperti akhbar, majalah, buku, pamplet dan sebagainya


Masjid Identiti Baru

Pengubahan identiti masjid dari satu keadaan kepada satu keadaan yang baru adalah merupakan di antara pendekatan yang boleh membantu masjid menjadi pemangkin kemajuan ummah. Pada masa sekarang kebanyakan masjid khususnya di luar bandar (masjid qariah) dilihat mempunyai identiti sebagai tempat sembahyang jemaah lima waktu dan sembahyang Jumaat sebagai aktiviti utama sepanjang tahun. Secara tidak langsung mereka yang menggunakan masjid hanyalah jemaah tetap masjid dan segolongan kecil ahli qariah yang mempunyai kepentingan berkala. Oleh kerana itu masjid tidak dapat dijadikan titik penggerak kepada keseluruhan masyarakat.

Bagi mengubah identiti masjid sebagai penggerak dan pemangkin perpaduan masyarakat, ia perlu mempunyai identiti yang boleh menyatukan aset-aset penting institusi kemasyarakatan seperti belia dan keluarga.

a. Identiti 1: Mesra-Belia

Masjid perlu menawarkan tempat dan program untuk belia seperti mewujudkan:
• Pusat bertauliah bagi remaja untuk mengikuti kursus-kursus-kursus tertentu
• Program dakwah belia kepada remaja-remaja yang liar-masjid
• Program galakan bagi jemaah mesra-masjid supaya mereka sentiasa dihargai dalam usaha imarah masjid yang dilakukan
• Pembentukan jawatankuasa masjid yang terdiri dari belia/remaja.
• Mewujudkan papan kenyataan yang berinformasi bagi belia

Beberapa inisiatif utama yang boleh dipertimbangkan ialah:

• Komitment latihan kepada progaram tertentu seperti kesukarelawanan dan kemasyarakatan
• Mewujudkan kerjasama dengan badan-badan pendidikan kemasyarakatan
• Program berimpak tinggi yang mempunyai sokongan kewangan dari kerajaan dan badan swasta
• Melantik Pegawai Pembangunan Masjid yang akan menyelia seluruh aktiviti pembangunan
• Mewujudkan pangkalan data belia yang menyertai aktiviti masjid
• Penyediaan kawasan khas aktiviti bagi belia termasuk peralatan belajar dan sukan


b. Identiti 2: Mesra-Keluarga

Bagi mempastikan masjid beridentiti mesra-keluarga, ia perlulah mengadakan program-program berkaitan keluarga seperti:
• Acara keluarga yang masih belum menjadi jemaah kekal masjid
• Acara keluarga untuk jemaah kekal masjid
• Menyediakan ruang untuk aktiviti kanak-kanak
• Papan kenyataan/pengiklanan tentang kekeluargaan
• Alat bantu bagi keluarga berumur dan kurang upaya

Masjid juga digalakkan untuk memperkenalkan inisisatif yang kreatif untuk mempromosi masjid sebagai tempat mesra-keluarga. Dengan itu program-program seperti dibawah adalah sangat digalakkan:

• Pengajian Islam berasaskan keluarga
• Mengadakan standard perkidmatan mesra-keluarga kepada masyarakat
• Komitmen latihan kepada Khidmat Cemerlang
• Khidmat mengadakan program sunnah seperti tahnik, aqiqah, tahlil, pengurusan jenazah, walimah dan sebagainya
• Pusat sehenti bagi maklumat dan perkhidmatan kemasyarakatan
• Skim Keluarga Masjid
• Kemudahan bermalam di masjid
• Kawan rehat dan rawat
• Pengkalan data maklumat bagi pengurusan masjid


Model Masjid Cemerlang (MMC)

Pada keseluruhannya sistem pentadbiran masjid di semua negeri di Malaysia adalah teratur dan baik. Walau bagaimanapun, untuk menjadikan pengurusan masjid berada pada tahap yang lebih baik dan kompetitif, suatu pendekatan atau sistem hendaklah diwujudkan supaya semua kelemahan dapat diperbaiki dan penambahbaikan berterusan dapat dijalankan. Sistem sedemikian akan dapat memperkukuhkan institusi masjid sebagai wadah ummah Islamiyyah untuk mencapai tahap kecemerlangan yang membanggakan.

Antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah pewujudan Model Masjid Cemerlang (MMC). MMC ini akan mempromosi masjid mithali /contoh bagi masjid-masjid di bandar dan kampung. Ianya adalah sebuah masjid yang mempunyai beberapa kriteria atau standard yang boeh menjadi kayu ukur masjid yang baik. Dengan adanya masjid contoh ini, maka pengurusan masjid lain akan dapat mengadaptasi usaha-usaha dan praktis terbaik yang dilaksanakan oleh masjid model MMC.

Jika organisasi lain boleh mewujudkan suasana perlumbaan yang sihat kenapa masjid tidak boleh. Sistem pentadbiran dan pengurusan yang sistematik sudah pasti akan dapat meningkatkan dan memperkukuhkan peranan masjid dalam masyarakat. Membiarkan masjid tanpa pengurusan dan pemerhatian yang mantap akhirnya menjadi suatu kezaliman yang merugikan. Kesannya yang pasti ialah masjid akan terus terpinggir dalam pembangunan masyarakat dan negara. Masjid hanya akan kekal berfungsi sebagai tempat sembahyang dan acara keagamaan sahaja.


Kesimpulan

Nabi Adam, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Muhammad adalah pengasas benting baitullah atau masjid. Mereka adalah pembina asasnya dan mereka melakukan sendiri dengan tangan mereka yang mulia. Keterlibatan mereka dalam pembinaan masjid menjadikan masjid amat rapat di hati orang Islam. Semua aktiviti muslimin berkembang dari masjid dan terus meluas dengan pelbagai kemudahan dan akhirnya jadilah masjid sebagai pusat komuniti. Dewasa ini, masjid bukan pusat komuniti tetapi sebahagian dari elemen dalam komuniti bahkan kadang kadang ianya diwujudkan atas desakan masyarakat dan mungkin itulah sebab peranannya tidak begitu penting.

Oleh kerana pengubahan keadaan sedia ada (status-quo) adalah kemungkinan yang kecil, pengurusan masjid dan masyarakat perlu berusaha lebih gigih bagi menjadikan masjid itu penting kepada masyarakat dan ia boleh memainkan peranannya dengan baik. Rasa ’kepunyaan’ kepada masjid yang hampir tiada di kalangan masyarakat sekeliling masjid tidak harus dibiarkan begitu saja. Walaupun masjid sekarang dibina oleh kontraktor, masyarakat tempatan boleh diberi peluang untuk sama-sama membinanya dengan tangan mereka sendiri mengambil kira sunnah nabi-nabi terdahulu yang terlibat secara langsung dengan pembinaan tempat ibadah mereka. Mungkin dengan keterlibatan masyarakat itu akan membuahkan semangat perpaduan yang kukuh dan akrab seterusnya membawa kepada tercapainya perpaduan ummah melalui masjid.

Kalau puasa dimulai pada hari Isnin. Maka lailatul-Qadr jatuh pada malam.........



Menurut penelitian Imam Ghazali rh. Lailatul-Qadr dapat diperolehi sebagai berikut:

Kalau puasa dimulai pada hari Ahad atau Rabu. Maka lailatul-Qadr jatuh pada malam 29 Ramadhan.
Kalau puasa dimulai pada hari Isnin. Maka lailatul-Qadr jatuh pada malam 21 Ramadhan.
Kalau puasa dimulai pada hari Selasa atau Jumaat. Maka lailatul-Qadr jatuh pada malam 27 Ramadhan.
Kalau puasa dimulai pada hari Khamis. Maka lailatul-Qadr jatuh pada malam 25 Ramadhan.
Kalau puasa dimulai pada hari Sabtu. Maka lailatul-Qadr jatuh pada malam 23 Ramadhan.

Tanda-tanda Lailatul-Qadr

Tanda lailatul-Qadr seperti mana disampaikan oleh Ubadah bin Samit r.a dari Nabi s.a.w ialah suasana malam itu akan sunyi, bersih, tenang, cerah, tidak panas dan tidak pula dingin seperti diteduhi oleh cahaya bulan, tidak ada bintang-bintang yang muncul sehingga pagi.
Dan termasuk tanda-tanda ialah bahawa matahari terbit pada pagi hari itu tanpa terasa panas cahayanya, seperti bulan purnama.


Dipetik dari buku Risalah Puasa, Muhammad Qosim at-Timory, terbitan Jahabersa&Jami’atul Ulum Ar-rahman

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAQ DAN SELAMAT BERPUASA



Firman Allah S.W.T. “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka Itulah yang lebih baik baginya. dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu Mengetahui. (beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah 2:183-185)
Hadis Nabi S.A.W. : Dari Amr bin Murrah al-Juhani Radhiallahu 'anhu berkata: Datang seorang lelaki kepada Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak untuk diibadahi kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah Shalallahualaihi wasalam, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadhan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Beliau menjawab: “Termasuk dari shidiqin dan syuhada”. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (no. 11 di dalam Zawaidnya) sanadnya sahih)
Saya mengucapkan selamat menyambut Bulan Ramadhan al-Mubaraq. Pada bulan yang mulia ini setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan yang berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela sentiasa membisikkan sesuatu agar puasa kita terbatal.

Kekadang timbul juga persoalan apabila kita membuat kesilapan kerana kelalaian di bulan mulia ini sedangkan dalam pemahaman, kita telah diberitahu melalui ustaz dan ulama-ulama yang iblis dan syaitan dirantai pada bulan ini.
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Justeru, saya mengajak diri saya, sahabat dan rakan taulan supaya perbanyakkan zikir (ingat) dengan menyebut nama Allah di dalam hati agar dapat menutralkan nafsu kita yang sentiasa bergelora.

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.


Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Saturday, July 30, 2011

TARIKH PERMULAAN RAMADHAN DIKETAHUI ESOK MALAM


KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Ahad ini, 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).

Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning, Kemaman (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Setiu (Terengganu), Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu (Kelantan).

Tanjung Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).

Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen pada malam itu juga.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KANDUNGAN BERITA BK5