Tuesday, August 16, 2011

Dalil Akal Bukti Kewujudan Allah



Seorang badwi pernah ditanya apakah yang menunjukkan tanda adanya Allah. Badwi ini adalah orang asli bagi masyarakat Arab yang hidup mengembara, berpindah-randah di satu tempat ke tempat yang lain dengan tinggal di dalam khemah, serta tidak begitu terpelajar.

Kata orang badwi tersebut, “Subhanallah, jika najis unta menunjukkan adanya unta, dan bekas tapak kaki tandanya ada orang berjalan, dan langit dan bintang dan bumi dan matahari dan tumbuh-tumbuhan dan laut bergelombang, tidakkah semua itu cukup menjadi dalil adanya zat Allah yang Maha Halus dan Maha Mengetahui?”

Berkata Ar-Rasi, Imam Malik dijemput oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, khalifah kerajaan Abbasiyyah ke istana. Kemudian Khalifah Harun Ar-Rasyid bertanya Imam Malik tentang dalil adanya Allah. Maka Imam Malik menjawab dengan dalil perbezaan suara dan bahasa. Mulut dan lidah manusia semua sama saja namun ada yang bertutur di dalam bahasa Arab, Parsi dan bahasa lain. Suaranya juga berbeza. Bahasa dan suara itu menunjukkan kekuasaan Allah. 1000 manusia terdapat 1000 suara. 1000 bangsa terdapat 1000 bahasa.

Imam Abu Hanifah ketika ditanya oleh orang zindiq (orang islam yang menyeleweng) tentang bukti adanya Allah. Maka Imam Abu Hanifah berkata, “Berilah aku kesempatan untuk fikirkan satu berita yang sampai kepadaku. Ada sebuah kapal di laut yang membawa barang dagangan, tetapi tiada jurumudi, tiada ketua dan tiada nahkoda namun dapat bergerak lancar.” Orang zindiq berkata, “Berita itu tidak masuk akal. Bahkan orang yang memberitahu tidak masuk akal.” Lalu Imam Abu Hanifah menjawab, “Celaka kalian. Masakan alam sedemikian indah rapinya di langit dan di bumi jika tiada penciptanya.” Maka orang zindiq ini tunduk insaf dan memperbaharui agama (mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat)

Apabila Imam As-Syafie ditanya dalil adanya Allah, Imam As-Syafie menjawab, “Perhatikan daun mempunyai satu rasa (satu warna, satu rasa, satu elemen). Dimakan ulat menjadi sutera, dimakan lebah menjadi madu, dimakan kambing menjadi najis, dimakan kijang menjadi kasturi. Tidakkah yang demikian itu tanda adanya Allah, pencipta semua itu? Makan benda yang sama, mengeluarkan benda yang berbeza.”

Ustaz menerangkan kijang betina mengeluarkan misk atau kasturi di belakang badannya. Ia banyak diternak di New Delhi dan bahagian seangkatan dengannya. Misk ini pada asalnya adalah darah yang haram bagi umat islam, namun setelah menjadi misk ia menjadi halal bagi umat Islam. Hal yang sama adalah muntah ikan paus iaitu Ambar. Misk dan Ambar digunakan untuk pembuatan minyak wangi. Susu lembu dan kambing juga menggunakan kaedah yang sama, asalnya darah tetapi halal apabila menjadi susu. Hal yang sama juga kepada daging yang diperbuat dari darah.

Imam Ahmad mengatakan, “Ada suatu benteng yang kukuh, tiada pintu atau lubang halus, di dalamnya perak, di luarnya emas kuning, kemudian ia retak dan keluarkan haiwan yang indah. Itulah telur.” Inilah jawapan Imam Ahmad mengenai bukti adanya Allah.

Imam Ahmad berguru dengan Imam As-Syafie. Imam As-Syafie adalah mujtahid mutlak dan Imam Ahmad juga menjadi mujtahid mutlak. Ulama-ulama pada masa terdahulu menggunakan dalil aqli (akal) untuk menerangkan kewujudan Allah kerana ia lebih mudah difahami oleh orang ramai.

Kemudian ustaz memberitahu kelmarin ialah gerhana bulan. Maka apabila gerhana, samada gerhana bulan atau gerhana matahari disunatkan untuk bersolat, beristighfar, berdoa dan berkhutbah.

Mengapa berkhutbah? Ini kerana di dalam Islam apabila ada perhimpunan umat islam yang ramai, maka disunatkan berkhutbah. Contoh perhimpunan manusia yang ramai ialah ketika solat Jumaat, solat Hari Raya, Qurban dan ketika membawa jenazah ke perkuburan. Talqin itu dikira sebagai khutbah kerana hakikatnya isi talqin itu memberi pengajaran kepada yang masih hidup, bukan yang telah mati.

Orang selalu salah anggap pada gerhana bulan dan matahari dari mana-mana bangsa di mana-mana tempat. Ada yang percaya ia petanda buruk dan sebagainya. Ini tidak terlepas meskipun di zaman Rasulullah s.a.w.

Pada ketika Saidina Ibrahim, salah seorang anak Rasulullah s.a.w meninggal dunia, maka secara kebetulan berlakunya gerhana matahari. Kemudian berlaku percakapan sesama sahabat di mana dikatakan alam turut merasa kesedihana di atas kematian putera nabi. Percakapan yang bermulanya kecil ini tersebar dengan sangat luas hingga sampai ke telinga Rasulullah s.a.w. Apabila sampai kepada telinga baginda, Rasulullah berkata, “Auzubillahi minash syaitonirrajim (Aku berlindung dari syaitan yang direjam), sesungguhnya matahari dan bulan itu, dua tanda dari tanda-tanda adanya Allah, tidaklah matahari dan bulan itu berlaku gerhana dengan sebab kematian seorang atau kelahiran seseorang. Sesiapa yang melihat berlaku gerhana, dia hendaklah sembahyang dan beristighfar kepada Allah.”

Di kala gerhana berlaku, syaitan berusaha menyesatkan hati manusia. Di dalam peristiwa ini, syaitan cuba menggoda hati para sahabat untuk sesat namun Rasulullah s.a.w bertindak pantas membetulkannya. Mengapa disunatkan sembahyang, istighfar, berdoa dan berkhutbah? Ini kerana apabila berlaku perkara besar di alam ini tanda kebesaran Allah, kita dekatkan diri kepada Allah sekaligus mengikis fikiran yang khurafat.

Kemudian bermula sesi soal jawab. Maka seorang lelaki bertanya mengenai ikatan 50 di dalam dua kalimah syahadah iaitu “Asyhadualla ila ha illallah, wa asyhadu anna muhammadar rasulullah.” (Aku bersaksi tiada tuhan disembah melainkan Allah dan aku bersaksi Muhammad itu pesuruh Allah).

Maka ustaz menjawab, ikatan ini ialah 41 dan 9. 41 dicampur 9 menjadi 50. Apakah itu 41? Jika kita mengetepikan khilaf ulama, 41 itu terdiri dari sifat Allah. 20 sifat wajib bagi Allah, 20 sifat mustahil bagi Allah, dan 1 sifat harus. Manakala 9 pula, jika diketepikan khilaf ulama, 4 sifat rasul, 4 sifat mustahil bagi rasul, dan 1 sifat harus bagi rasul. Maka 20 + 20 + 1 + 4 + 4 + 1 = 50.

Ikatan ini bukan fardhu ain, kiraanya tidak wajib diketahui.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KANDUNGAN BERITA BK5