Monday, August 1, 2011

Perpaduan Ummah Sebagai Asas Perpaduan Nasional



Perpaduan Ummah Sebagai Asas Perpaduan Nasional
Apa yang dimaksudkan dengan ummah ialah orang Islam di negara ini. Oleh yang demikian, ungkapan "perpaduan ummah" bermaksud perpaduan umat Islam di Malaysia. Sementara "perpaduan nasional" pula ialah perpaduan semua kaum di negara ini.

Dalam Islam, perpaduan ummah satu perkara asas. Allah berfirman (ali-Imran: 103): "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah". Perpaduan nasioanal juga diperakui sebahagian daripada perpaduan sejagat. Allah berfirman (al-Hujurat: 13): " Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)"

Di negara-negara majoriti penduduknya umat Islam, seperti negara-negara Arab, persoalan seperti ini mungkin tidak timbul atau tidak banyak membawa masalah. Tetapi, di negara-negara umat Islamnya golongan minoriti, persoalan ini mungkin timbul.

Apakah "kepentingan ummah" boleh tertakluk kepada kepentingan nasional" atau sebaliknya? Tidakkah Islam itu mesti sentiasa di atas (ya'lu) dan tidak boleh ke bawah (yu'la 'alaih)? Tidakkah universalisme Islam itu bertentangan dengan apa sahaja sempadan bangsa dan negara? dan banyak persoalan lagi.

Hakikatnya, dalam negara bangsa, kepentingan nasional sentiasa diutamakan. Dalam realiti ini, kepentingan Islam dilihat terletak pada kategori kedua atau seterusnya. Keadaan ini telah melahirkan dualisme yang rumit untuk diselesaikan, sehingga melahirkan konflik dalam diri individu dan masyarakat Islam di negara-negara berkenaan.

Di Malaysia, keadaan seperti ini dirasakan bahangnya sejak sebelum merdeka lagi. Persoalan yang timbul waktu itu ialah, kita boleh merdeka di bawah pengaruh permuafakatan kaum yang membentuk gagasan nasional, atau sebaliknya hanyalah bersendirian dengan keIslaman sebagai satu-satu unsur yang utama.

Majoriti rakyat kemudiannya memilih untuk merdeka berasaskan permuafakatan kaum yang pelbagai agama di bawah gagasan nasionalisme yang longgar. Hal yang sama kemudiannya diulangi dalam bentuk yang lebih besar, apabila Malaysia ditubuhkan bagi mengambil tempat Malaya yang sebelum ini merdeka dari penjajahan British.

Satu aspek yang sangat ditekankan di bawah semangat perpaduan kaum ini ialah "perpaduan nasional" yang merangkumi semua kaum yang berada di bawah semangat tolak ansur yang berteraskan prinsip "sama menang". Dalam realiti ini, apa yang disebut sebagai "perpaduan ummah", dalam jangkauan tertentu dilihat sebagai bertentangan atau tidak selaras dengan prinsip perpaduan nasional. Dalam banyak hal, keadaan ini telah menimbulkan konflik di kalangan masyarakat Islam sendiri, yang kadang-kadang boleh menimbulkan perpercahan dalaman di antara berbagai golongan dan pendirian.

Dalam beberapa keadaan juga, perpecahan ini boleh melemahkan umat Islam sendiri dan membantut pencapaian objektif perpaduan nasional dari perspektif kepentingan umat Islam seluruhnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KANDUNGAN BERITA BK5