Saturday, August 13, 2011

Riddah [ murtad ] menurut Islam ..




Pendahuluan

Firman Allah SWT berhubung dengan gejala riddah berdasarkan ayat 217 surah al-Baqarah yang bermaksud: " Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia dalam keadaan kafir (ingkar), maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (buatselama-lamanya)."

Huraian ayat di atas

Allah menjelaskan bahawa antara sebab yang menjadikan seseorang itu menjadi murtad adalah akibat dari kelemahannya untuk bertindak balas ke atas serangan musuh-musuh Islam yang melancarkan serangan dari pelbagai sudut dan bentuk yang tidak mampu ditangkis oleh umat Islam kerana lemah daya pemikiran lantaran jahil terhadap agamanya sendiri.

Definisi riddah
Riddah: Menurut bahasa : Kembali dari sesuatu kepada sesuatu.

Menurut syara'/istilah: Kembali dari agama Islam kepada agama kafir, samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan.

Dan orang yang melakukan perbuatan riddah itu dinamakan murtad. Perbuatan ini adalah sekeji-keji kufur kerana orang yang murtad berlainan hukumnya daripada orang-orang kafir lainnya pada beberapa perkara tertentu.

Dan orang yang murtad, ia juga diertikan sebagai orang telah melakukan jenayah yang menghina Islam, itu adalah contoh yang buruk bagi orang lain yang mungkin terpengaruh dengan da'yahnya, hal ini tentunya akan menimbulkan fitnah kepada Islam.

Pandangan Islam terhadap golongan murtad
Dalam hal ini, baginda Rasulullah s.a.w. telah memberi satu garis panduan berhubung dengan golongan murtad berdasarkan sebuah hadis yang tegas daripada baginda yang bermaksud : " Sesiapa yang menukar agamanya (Islam), maka kamu bunuhlah dia " . [ Hadis riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa~ie.]

Apa yang perlu dibuat ke atas orang yang murtad
Orang murtad tidak harus dibiarkan dalam keadaan 'riddahnya' melainkan pihak yang berkuasa hendaklah menyuruhnya kembali bertaubat dan memeluk Islam, jika ia enggan, hendaklah dikenakan hukuman bunuh.

Hukuman tersebut sekali-kali tidak bertentangan dengan 'dasar kebebasan beragama' atau dasar 'tidak ada paksaan dalam agama' sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran kerana ia tidak tidak ada kaitan langsung dengan persoalan murtad.

Sedangkan maksud 'tidak ada paksaan dalam agama' itu ertinya ialah bahawa orang-orang Islam tidak boleh sama sekali memaksa orang-orang kafir memeluk Islam kerana hakikat iman serta kesudahannya yang baik dan hakikat kufur serta akibatnya yang buruk terserah kepada manusia memilihnya setelah disebarkan dakwah islamiyah kepada mereka.

Sabda baginda yang bermaksud : " Tidak halal darah seseorang muslim itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin." [ Riwayat Bukhari & Muslim ]

" Dari Muhammad bin Abdullah bin Abdurrahman bin Abdul Qari dari bapanya, bahawa seorang laki-laki dari arah Abu Musa Al-Asy'ari telah datang kepada Omar ra, kemudian Omar r.a berkata kepadanya: " Adakah sesuatu khabar dari sebelah barat? "

Ia menjawab: " Ya, ada seseorang lelaki menjadi kafir setelah ia memeluk Islam. "

Omar berkata: " Apa yang telah kalian lakukan terhadapnya? "

Ia menjawab: " Kami hampiri dia kemudian kami bunuh dia."

Omar berkata: " Mengapa tidak kamu tahan selama tiga hari, kemudian kamu beri makan sepotong roti tiap hari, dan ia diminta bertaubat agar ia kembali kepada perintah Allah? Ya...Allah, sesungguhnya aku masa itu tidak hadir, dan tidak menyuruh, dan aku tidak reda ketika khabar itu sampai kepadaku." [ Riwayat Imam Malik di dalam Al-Muwatta', dan Asy-Syafi'i ]

Telah ijmak seluruh ahli ilmu terhadap hukum bunuh orang lelaki yang murtad. Manakala hukuman terhadap wanita yang murtad, jumhur ulamak mengatakan hukumannnya adalah hukuman bunuh juga.

Hanafiah pula berpendapat wanita yang murtad tidak dikenakan hukuman bunuh, kerana ada hadis yang melarang pembunuhan terhadap wanita.

Menurutnya lagi, bagi wanita yang murtad hukumannya ialah memaksanya kembali semula kepada Islam, jika dia enggan hendakalah dipenjarakan sehingga dia memeluk Islam kembali atau sehingga dia mati.

"Telah sabit dari Abu Bakar ra: Bahawa beliau menghukum bunuh perempuan yang murtad." [ Hadith riwayat Darquthuni ]

" Bahawa seorang perempuan yang biasa dipanggil Ummu Ruman telah murtad dari Islam. Kemudian urusan itu sampai kepada Nabi, maka Nabi menyuruhnya bertaubat jika ia bertaubat maka ia bebas, sedangkan jika ia tidak bertaubat maka ia harus dibunuh."

Meminta si murtad supaya bertaubat
Menurut jumhur, wajib meminta si murtad supaya bertaubat. Ia hendaklah dilakukan sebanyak 3 kali sebelum hukuman mati dijalankan. Hanafiah pula berpendapat, meminta si murtad supaya bertaubat sunat sahaja hukumnya.

Apakah memerangi orang yang murtad termasuk Jihad fi Sabillah dengan makna menurut hukum syara'?
Ya, memerangi orang murtad termasuk Jihad fie Sabilillah dengan makna menurut syara', kerana ta'rif jihad sesuai baginya iaitu : Memerangi orang kafir untuk meninggikan Kalimah Allah, sedangkan orang-orang murtad itu adalah orang-orang kafir dan memerangi mereka, untuk meninggikan kalimah Allah.

Bahkan Ibnu Qudamah penulis kitab Al-Mughni menetapkan bahawa memerangi kafir asli.

Ibnu Qudamah berkata : mereka ini - yakni orang-orang Murtad - lebih berhak untuk diperangi, kerana membenarkan mereka boleh jadi orang-orang seperti mereka memujuk untuk menyerupai mereka dan murtad bersama mereka.

Permulaan kes riddah dalam sejarah Islam.
Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini menggugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam, banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah.

Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka.

Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah SAW. dan memandangkan Rasulullah SAW. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam

Sayidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim.

Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul, bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah.

Hal ini merupakan permulaan Perang Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailimah. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

Tindakan yang dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar itu adalah hasil permesyuaratannya bersama para sahabat yang lain termasuk Saidina Omar Bin al-Khattab, mereka berpendapat tindakan memerangi golongan murtad dengan dipancung kepala mereka adalah menepati roh Islam, kerana bagi mereka, golongan yang menolak salah satu daripada rukun Islam, ia bermakna menolak keseluruhan rukun Islam yang lima dan mereka yang terlibat perlu dihukum sampai mati berdasarkan hadith di atas.

Sebab-sebab berlaku riddah di kalangan orang Islam Seseorang atau sesuatu kumpulan boleh menjadi murtad dengan melalui salah satu dari beberapa sebab berikut ini, antara lain:

1. Mempersekutukan Allah sama ada melalui I'tikad, ucapan ataupun perbuatan seperti sujud kepada berhala atau berjalan ke gereja dengan gaya serupa macam orang Nasrani.

2. Mengingkari agama Islam atau satu rukun daripadanya, atau mengingkari satu hukum Islam yang dapat diketahui secara jelas dan sahih

3. Orang yang meng'itikadkan bahawa tidak wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah.

4. Orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajibannya, dan demikian pula jika ia mengingkari kewajiban solat walaupun tidak meninggalkannya.

5. Orang yang meninggalkan solat kerana kesombongan atau kedengkian.

6. Orang yang meninggalkan solat kerana meremehkan dan memandang hina terhadap solat.

7. Orang yang meninggalkan solat, dan berterusan meninggalkannya hingga dibunuh.

8. Orang yang meninggalkan solat karena berpaling daripadanya, ia tidak mengakui kewajiban solat dan tidak pula mengingkarinya.

9. Mencela agama Islam, menghina al-Quran serta hukum-hukumnya dan sunnah Nabi Muhammad SAW .

10. Mencela Nabi Muhammad, ahli keluarganya dan para sahabat.

11. Mendakwa bahawa wahyu turun kepadanya.

12. Menghalalkan apa yang diharamkan Allah atau sebaliknya.

13. Mencampak al-Quran atau kitab hadith Nabi dengan niat penghinaan.

14. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.

15. Tidak mengamalkan hukum-hukum Islam.

16. Berniat atau berazam untuk jadi kafir pada keesokan hari atau teragak-agak untuk melakukannya, niat dan azam seseorang seperti itu menyebabkan dia jadi kafir pada masa itu juga.

17. Dan banyak lagi yang lainnya.

Perbuatan perbuatan di atas jika dilakukan oleh seorang yang baligh serta berakal, baik lelaki mahupun wanita dan perbuatan demikian dilakukan dengan inisiatif sendiri maka perbuatan itu menjadikannya murtad.

Syarat sah seseorang itu boleh jadi murtad Seseorang muslim itu boleh menjadi murtad dengan melakukan perkara-perkara kufur dengan beberapa syarat, iaitu:

Syarat Pertama Berakal -
Oleh itu orang gila dan kanak-kanak tidak boleh jadi murtad dengan melakukan perkara-perkara berkenaan. Kerana berakal juga adalah syarat layak untuk berakidah. Namun sekumpulan ulamak seperti Abu Hanifah, Muhammad, Malikiah dan Hanabilah mengatakan bahawa sah berlaku murtad ke atas seorang kanak-kanak. Mereka berpendapat baligh bukan menjadi syarat untuk berlakunya murtad.

Syarat Kedua Dengan ikhtiar dan kerelaan - Oleh itu kemurtadan orang yang dipaksa berbuat demikian tidak sah. Dia dipaksa untuk murtad sedangkan hatinya tetap tenang beriman dengan Allah Taala.

Penyelesaian gejala riddah menurut kaca mata Islam

Sebab-sebab berlakunya murtad dan cara-cara mengatasinya:

Antara sebab-sebab percubaan murtad ialah:
i) Kelemahan iman

ii) Tidak ada suasana yang boleh membentuk kekuatan iman.

iii) Tidak ada orang yang membimbing.

iv) Ada komplot tertentu bagi memecahbelahkan umat Islam melalui ajaran Kristian dan Hindu dengan meminum air holywater dan sebagainya.

Cara-cara untuk mengatasinya:
i) Dengan berjaga-jaga daripada terpengaruh dengan ajaran agama yang sesat yang menyeleweng daripada akidah Ahli sunnah Waljamaah.

ii) Kesedaran melalui usaha-usaha dakwah.

iii) Dikuatkuasakan Akta Pencegahan murtad dan Akta Pemulihan di Pusat-Pusat Pemulihan Akidah di negeri-negeri yang akan digazet dan dilaksanakan secepat mungkin.

iv) Mengenalpasti kumpulan / gerakan yang cuba memurtadkan individu / umat Islam dan membuat aduan segera ke Jabatan Agama Islam Negeri yang berdekatan.

v) Untuk menguatkan iman, disarankan umat Islam kembali menghayati cara kehidupan Nabi Muhammad SAW yang ditunjukkan kepada kita melalui Al-Quran dan sunnahnya.

Gejala riddah di Malaysia semakin serius berlaku.

Peguam Zulkifli Nordin ada menyentuh berhubung Isu riddah di kalangan orang Melayu/Islam seperti dalam catatan dan pengakuannya:

Murtad di kalangan orang Melayu kini sudah menjadi ancaman kepada kita.

Indeks pencemaran akidah mengikut jabatan statistik dan perangkaan tahun 1989 sahaja, 4776 orang Melayu mohon tukar nama dari Melayu kepada bukan Melayu atas alasan keluar dari Islam.

Tahun 1997, bila Saari Bustamah mengambil alih jawatan mufti dari Datuk Hashim Yahya, perkara pertama yang disentuh adalah murtad. Menurutnya sehingga Julai 1997, 3,000 orang murtad di KL sahaja. Tahun 1998 saja, 516 orang sudah murtad.

Sumber / Petikan :
Harakah Daily
Riddah [ murtad ] dan persoalannya menurut Islam
Ustaz Zainudin Hashim

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KANDUNGAN BERITA BK5