Monday, August 15, 2011

SYAITAN DAN IBLIS DIRANTAI TAPI MASIH TIDAK BERPUASA


"Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda :

Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga,

dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu

syaitan-syaitan. ." Hadis ini diriwayatkan Bukhari dan

Muslim. Imam Muslim Rahimahullah menyebut hadis ini dalam

kitab Shiam (Puasa) dan begitu juga dengan Imam Bukhari yang

meletakkan hadis di dalam kitab Shaum (Puasa). Namun lafaz

yang dibawa oleh Imam Bukhari berlainan dari Muslim walaupun

dari periwayat yang sama iaitu : "Apabila tibanya bulan

Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit, dan ditutup pintu-pintu

jahannam dan dirantai syaitan-syaitan. ." Namun,

perbezaan lafaz ini tidak membawa kepada perbezaan makna

hadis.

Persoalannya : Adakah syaitan benar-benar

dirantai di bulan Ramadhan sehingga tidak dapat menjalankan

aktivitinya seperti biasa? Kalau ini yang terjadi, bagaimana

pula yang berlaku pada hari ini di mana dilihat kemaksiatan

yang berlaku di bulan Ramadhan tidak kurang hebatnya

daripada yang berlaku di bulan yang lain? Atau adakah rantai

tersebut hanyalah satu simbolik (majaz)?

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di

dalam syarahnya menyebut bahawa proses perantaian tersebut

hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa

syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya

seperti biasa memandangkan orang-orang Islam sudahpun

berpuasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang

Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan

syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati

manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat

menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya

bagaikan di'rantai'. Dalam erti kata lain, puasalah

yang menjadi punca kepada perantaian ini dan kepada

orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat puasa, pengaruh

syaitan ke atas dirinya samalah seperti bulan-bulan yang

lain.

Walau bagaimanapun, Imam Nawawi sendiri tidak

menolak kemungkinan maknanya yang zahir iaitu

syaitan-syaitan benar-benar dirantai pada bulan Ramadhan

bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan. Manakala hakikat

yang terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang

berpuasa tetap meneruskan kemaksiatan ialah kerana puasa

mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak dihayati

sebagaimana yang sepatutnya. Apabila puasa tidak dihayati

sepenuhnya, pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun

syaitan sendiri sudahpun dirantai. Pendapat ini dipegang

oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.

Sebagai kesimpulannya, pemahaman para ulama'

terhadap hadis ini yang menyatakan syaitan-syaitan dirantai

terbahagi kepada dua iaitu memahaminya secara simbolik

ataupun memahaminya di atas maknanya yang zahir.

Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak bertentangan antara satu

sama lain. Seandainya seseorang itu berpuasa dengan

sebenar-benarnya, maka sesungguhnya dia telah merantai

syaitan daripada mendekati dirinya.

Wallahu a’lam

1 comment:

  1. Hi, I have been visiting your blog. ¡Congratulations for your work! I invite you to visit my blog about literature, philosophy and films:
    http://alvarogomezcastro.over-blog.es

    Greetings from Santa Marta, Colombia

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KANDUNGAN BERITA BK5